Followers

Monday, September 15, 2008

Maafkanku...

Sahabat, sungguh aku tak berdaya untuk melawan godaan nafsu. Terkadang aku tewas. Maafkanku andai tingkah perbuatan ku membuatkan dikau kecewa, kesal dan tersentuh hati. Sungguh ujian untuk berada pada jalan ini amat sukar. Andai aku tersungkur rebah, pimpinlah tanganku, agar aku terus merasai nikmatnya sebuah persahabatan. Jangan tinggalkan aku sahabat, aku takut aku terus hanyut. Berikanlah peringatan, doakan agar hati ini akan tetap bersama perjuangan kalian. Terikatnya hati-hati ini lantaran kasih sayang. Semoga kasih sayang Allah juga bersamanya. Terima kasih sahabat atas perhubungan ini. Maafkan akan kealpaanku....

Saturday, September 6, 2008

Takziah buat keluarga Syira Jamel

Saya ingin menyampaikan salam takziah buat keluarga Syahirah bt Jamel atas pemergian ibunda tercinta pada pukul 3.45 petang (6 September 2008/6 Ramadhan 1429H). Semoga roh ibunda Syira ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. dan semoga Allah memberikan ketenangan dan ketabahan kepada seluruh keluarga Syira dalam menghadapi ujian besar ini.

Al-Fatihah.

*masih terbayang-bayang wajah arwah ibu Syira saat menghembuskan nafas terakhir. Semoga Allah menempatkannya di sisi orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

Friday, September 5, 2008

Lestari Kehidupan 3

Hari Isnin (hari pertama berpuasa), sempat bersahur dengan keluarga aku di rumah. Rindu terubat. Dapat bersama dengan semua, makan bersama. Syukur. Pagi kena balik UIA. Nak ke Johor (Endau) dengan Faruqi ( juga adik angkat aku ). Bas pukul sebelas. Tak perlu la aku menceritakan perjalanan ke Johor ini (yang sebenarnya agak memenatkan..huhu). Apa yang penting, aku dan adiq selamat sampai dan kini, dah berada semula di UIA dengan motornya. (balik rumah adiq kat johor sebab nak amik motor dia. Temankan dia balik ke KL naik motor.)

Apa yang dapat aku ceritakan di sini adalah kedua-dua keluarga, baik keluarga atif dan keluarga faruqi lebih kurang sama keadaan kasih sayang yang tercipta di dalamnya. Yang membezakan keluarga keduanya adalah taraf kehidupan. Jika keluarga Atif lebih mewah dan berada, bagi keluarga Faruqi adalah sebaliknya (walau tidak terlalu daif). Terharu aku melihatkan kegigihan ibu dan abah Faruqi dalam mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak mereka, Along (Faruqi), Angah, Ateh, Acik ngan Adik. Ibu Faruqi bekerja di klinik, pagi seawal pukul 8 sudah pergi kerja setelah selesai menghantar adik-adik Qi ke sekolah, balik ke rumah tengahari, kemudian selepas berbuka puasa, sekali lagi ke klinik untuk bekerja. Bekerja dua kali sehari. Bayangkanlah. Sempat lagi menyediakan juadah berbuka yang lazat untuk aku dan juga adik-adik. Abah Qi pulak, sewaktu aku sampai di rumah, dia tak ada. Ke Kuala Lumpur bawak lori ikan untuk diedarkan sekitar KL. Bayangkan dari Johor bawa lori sehingga ke KL. Pukul sepuluh keesokan harinya, abah Qi balik ke rumah. Sempat bersalaman dengan dia. Kemudian dia masuk berehat di biliknya. Aku pun terlena sebentar di ruang tamu lantaran kengantukan yang tak tertahan. Tau ape yang mengejutkan aku setelah bangun lebih kurang pukul 2? Abah Qi dah tak ada. Sekali lagi keluar untuk membawa lori dari Johor ke KL. Hurm… Kuat orang tua ni. Kagum aku dengan kegigihan dan ketabahan abah Qi dalam mencari sesuap rezeki untuk keluarganya. Lantas keinsafan terus menyelinap ke dalam diri. Betapa beruntungnya aku, dilahirkan dalam keadaan keluarga yang cukup serba serbi. Banyak masa yang dapat diluangkan bersama abah dan mama. Berbanding dengan adik-adik Qi, mereka banyak masa bersama dengan ibu mereka, tetapi dengan abah?? Untuk pengetahuan, aku dan adik hanya berjumpa dengan abah waktu terserempak di tengah jalan. Abah baru nak sampai Endau, dan kami telah pun bertolak untuk balik ke KL. Jumpalah sebentar di tepi jalan yang sunyi, kadangkala dilalui oleh kenderaan yang dipandu laju. Satu lagi babak yang menyebabkan aku tersentuh. Abah pun cakap, dah lepas Faruqi ni belajar, abah pun legalah sikit. Menggambarkan harapan besar yang diletakkan di bahu Adiq.

Apa yang menyebabkan aku lega sedikit apabila melihatkan Faruqi mempunyai rasa tanggungjawab sebagai anak sulung. Sayangnya adik-adik Faruqi kepadanya terserlah tatkala dia sampai ke rumah. Mereka berpelukan, cium antara satu sama lain, terserlah kerinduan dari pancaran mata kerdil mereka. Sungguh, aku cukup tersentuh dengan bibit-bibit kemesraan antara mereka. Aku bangga dengan adik aku. Lantas aku percaya dan yakin, dialah harapan keluarga untuk menjaga dan memberikan segala yang terbaik. Semoga adik terus tabah dan cekal dalam menempuh kehidupan dan akhirnya berjaya untuk mengubah nasib keluarga. Kerana itu aku tidak kisah untuk terus menjadi sahabat (abang) yang rapat dengan Qi. Aku mahu memberikan yang terbaik untuk dia sebab aku tahu kepayahan hidup dia. Betapa besar tanggungjawab terpikul di bahunya. Dia perlu memastikan dia melakukan yang terbaik sebagai role model kepada adik-adiknya. Aku berbisik di dalam hati, biarlah aku yang menjaga adik tatkala dia di KL ni menyambung pengajian, agar abah dan ibu di Endau tidak risau sangat. Sungguh, aku tahu betapa mereka sangat risau dengan diri Faruqi lantas menitipkan pesan agar aku menjaga Faruqi sebaik mungkin. Pesanan mereka akan ku simpan, dan itulah yang akan aku lakukan. InsyaAllah, moga Allah berikan aku kekuatan.

Selesai penceritaan lestari kehidupan yang ku lalui sepanjang cuti pertengahan semester yang lalu. Walaupun aku agak sedih kerana tak dapat bersama dengan keluarga aku ketika itu (mama dan abah juga mungkin merasakan perasan yang sama, maafkan anakanda mama dan abah), namun aku bersyukur kerana di sebalik itu ada hikmah yang tersembunyi. Aku belajar banyak perkara yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan. Mungkin juga boleh menjadi panduan tatkala aku sudah berumah tangga nanti. Menjadikan formula keluarga Atif mengukuhkan talian kekeluargaan dan menjadikan ketabahan dan kegigihan keluarga Faruqi dalam mencari rezeki sebagai pendorong semangat. Keyakinanku , kedua-duanya berupaya untuk melahirkan generasi yang baik dari segenap segi. Formula untuk generasi yang faham akan erti kehidupan yang sebenar, perjuangan kehidupan yang sebenar. Mereka inilah orang-orang yang faham keperitan kehidupan dan mereka inilah yang menghargai sebuah kehidupan. Semoga menjadi iktibar untuk kita semua.

Maafkan aku seandainya penceritaan ini tak mampu memberikan gambaran yang sebenar apa yang telah aku lalui. Sungguh, andai anda mempunyai peluang sebegini, anda akan menghargai saat-saat yang sebegitu. Anda akan lebih menghargai nilai sebuah persahabatan. Aku bersyukur, diberikan kelebihan untuk bersama-sama dengan adik-adikku, menyelami kehidupan mereka dan menghadam erti kehidupan bersama mereka. Syukurlah. Semoga kasih sayang ini terus hidup subur dalam hati-hati kami.

****************************

*Aku berkenalan dengan Faruqi ketika menjadi Komiti untuk McLead (sebuah program kepimpinan yang dianjurkan oleh Pusat Asasi UIAM, sekarang diubah kepada OMEX) lebih kurang dua tahun yang lalu.



Aku bersama dengan adik dan acik. pagi sebelum keduanya pergi ke sekolah.







Adik Qi dengan motornyer..jauh tu datang...ada kenangan..hanya aku dan adik je tahu..ahaha...



Lestari Kehidupan 2

Sambungan...

Hari Ahad (sehari sebelum puasa), dapat berita adik angkat aku di Bandar Sri Damansara kemalangan motor. Dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan (rumah keluarga angkat aku), pagi itu, aku pecut ke Kuala Lumpur. Dah beberapa kali aku ke rumah dia (Atif). Rasa mengantuk juga memandu berseorangan. Tetapi niat untuk aku pergi melawat Atif tidak tergugat. Sampai di rumahnya, barula lega sikit rasa hati melihatkan Atif masih lagi boleh berjalan dan kecederaannya tidaklah teruk mana. Hanya tangannya sedikit calar-calar kerana digilis tayar kereta yang dilanggarnya. Mujur tak patah. Badan-badan pun ada lebam-lebam sikit. Yang penting dia selamat.

Bukan aku hendak bercerita mengenai aku pergi melawat dia, tetapi ingin aku menceritakan bagaimana aku merasakan keluarga Atif ini sangat istimewa. Terasa kasih sayang dari setiap ahli keluarganya mengalir deras di dalam rumah tersebut. masing-masing menunjukkan keprihatinan kepada Atif. Memberikan perhatian yang cukup baik. Walaupun berada dalam kelompok keluarga yang mewah (ayah Atif merupakan pengusaha Bas Persiaran Kiffah, dan hampir semua ahli kelurganya bekerja dengan ayahnya), namun kehidupan mereka sangat sederhana.

Apa yang aku maksudkan dengan sederhana di sini adalah sederhana orang bandar. Mereka sangat merendah diri. Tidakpun menonjol-nonjolkan kekayaan yang dimiliki seperti kebanyakan orang kaya yang lain, hubungan kekeluargaan sangat baik, tidak seperti keluarga mewah yang lain, porak peranda, memasing dengan hal sendiri (walaupun tidak semua). Apa yang saya perhatikan ada dalam keluarga Atif ini, suatu yang unik. Yang perlu dipelajari formulanya. Terima kasih atas pengalaman yang berharga ini, yang membuatkan saya lebih memahami dan menghargai erti sebuah keluarga yang sebenar.

*aku kenal dengan Atif ketika mengendalikan program di sekolah dia. Kem Ibadah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara.

Bersambung...

Lestari Kehidupan 1

Assalamualaikum wbt...

Pada tika ini, terasa tangan ingin menulis. Ingin sekali berkongsi rasa dengan mereka yang membaca blog Pelan-pelan Kayuh ini. Semoga bersama mendapat manfaat.

Kesempatan cuti pertengahan semester baru ini telah memberikan banyak pengalaman baru kepadaku. Terlalu banyak yang dapat aku pelajari mengenai kehidupan dan kasih sayang. Betapa aku bersyukur diberikan peluang yang sebegini, yang tak mungkin dirasai kebanyakan orang.

Apa yang ingin aku sentuh pada post kali ini adalah berkenaan kekeluargaan. Kasih sayang dalam keluarga yang membuatkan aku tersentuh. Tersentuh dengan kehalusan kasih sayang yang terhubung jalin antara ahli keluarga. Aku hanya sempat berada di rumah sendiri selama sehari setengah. Sempat la jugak untuk solat tarawikh dan bersahur bersama keluarga tercinta pada hari pertama berpuasa. Cuma tak berkesempatan lagi untuk berbuka puasa bersama. InsyaAllah, dalam minggu ni akan balik berbuka bersama keluarga.

Hati aku sebenarnya agak tersentuh bila mama sendiri mengatakan betapa susahnya untuk melihat aku berada di rumah kerana kesibukan aku. Samada kesibukan yang diada-adakan atau kesibukan yang sememangnya sibuk. Terdengar juga keluhan dari mana seperti ungkapan berikut, “dah la anak laki sorang, nak nampak ada kat rumah pun susah”.

Apa perasaan anda andai terkeluar dari seorang ibu keluhan yang sebegitu. Sungguh, aku amat tersentuh. Aku tahu betapa mama mahukan aku berada di rumah lebih lama. Mahukan aku berada selalu berada di sisi mama untuk bermanja-manja. Namun tuntutan tanggungjawab melebihi segalanya. Semoga mama akan memahami. Abah pula, tak pernah pun terungkap keluhan. Tetapi jauh di raut wajahnya, aku tahu, abah juga seperti mama. Mahukan anak lakinya yang sorang ini kerap berada di rumah. Maafkan Arir mama dan abah. Tidak sesekali terniat untuk menderhaka. Mohon dijauhkan. Harapan saya agar mama dan abah akan mengerti akan perjalanan kehidupan anak mereka ini. Yang kadangkala aku pun tak mengerti apa yang aku mahukan. Jauh di sudut hati, aku tahu abah dan mama sangat menyayangi aku. Dan kerapkali aku berbisik dari kejauhan, aku sayang mama dan abah. Apa khabar mereka agaknya sekarang. Rindu tiba-tiba menyusup di kalbu…. Semoga mereka berada dalam keadaan yang baik… Hurmmm..macam nak baik pulak rasa.. Semoga Allah terus memberikan ketenangan dan kesihatan yang baik kepada mama dan abah, juga kepada kakak kakakku yang tidak jemu memberikan perhatian mereka kepadaku. Terima kasih atas kasih sayang semua….

Itu satu titipan kekeluargaan yang rapat denganku.

Bersambung...

Thursday, September 4, 2008


Salam Ramadhan buat semua sahabat-sahabat. Semoga Ramadhan kali ini lebih berkat dan memberikan impak yang besar dalam kehidupan seharian kita. Insya-Allah. Bersama berpesta ibadah!