Followers

Tuesday, November 11, 2008

Ada Apa dengan Misi Kesukarelaan ke Sri Lanka?

Sepertimana yang dijanjikan, kali ni, aku nak bincangkan mengenai kerelevanan misi ke Sri Lanka ni. Maaf kerana agak lambat. Cumanya ape yang nak aku katakan untuk posting kali ni adelah dari ape yang aku faham dan aku mengerti mengenai misi dan objektif pemergian aku ke sana. Maksudnya, ini berdasarkan pwnilaian dan pemahaman aku mengenai misi ini secara personal:

1) Melayu Sri Lanka vs Melayu di Malaysia.

Ada yang mempertikaikan pemergian kami ke Sri Lanka untuk membantu Melayu di sana agak tidak relevan sebab Melayu di Malaysia sendiri masih banyak memerlukan bantuan. Kenapa seolah-olah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan? Ok, mari kita lihat dari sudut perbezaan antara kita di Malaysia dan mereka di Sri Lanka

a) Melayu Islam di Malaysia adalah 60 peratus dari penduduk Malaysia di mana boleh dikatakan sebagai golongan majoroti di sini. Sedangkan Melayu Islam di Sri Lanka hanyalah berjumlah 50,000 orang sahaja dan merupakan kumpulan kecil yang sangat minoriti bilangannya jika dibandingkan denga jumlah penduduknya sendiri.

b) Apabila dikatakan sebagai golongan minoriti ini, sudah pasti kelengkapan dan pelbagai perkara asas mengenai kehidupan merupakan antara perkara sukar yang dihadapi oleh masyarakat Melayu disana. Mereka kurang dari pelbagai segi kerana mereka tak ada ‘sense of power’ dalam masyarakat. Mereka tidak ada kuasa dalam pentadbiran Sri Lanka, malah suara mereka dalam menegakkan hak mereka umpama ditiup angin sepoi-sepoi sahaja. Tak siapa yang akan endah. Sedangkan di Malaysia, perkara asas mengenai kehidupan bukanlah masalah yang kritikal. Melayu Malaysia diberikan pelbagai keistimewaan dari kerajaan sehinggakn mereka tidak nampak dan masih lagi meminta-minta. Sekurang-kurangnya, masih lagi ada ruang untuk suara Melayu di Malaysia untuk didengari di peringkat pentadbiran.

c) Kami ke sana dengan membawa harapan agar kami dapat memberikan nafas dan ruang baru kepada mereka agar mereka dapat terus membangun. Fokus kami adalah belia-belia muda di sana. Kami mahu melihat belia di sana membangun dan menjadi antara yang terbaik sehinggakan mereka mampu untuk menjadi sebahagian dari orang yang berpengaruh dalam masyarakat Melayu di sana secara khasnya dan masyarkat Sri Lanka secara amnya.

2) Misi kesukarelaan vs Melancong @ berjalan-jalan

Tujuan kami ke sana tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi agen dalam penyebaran risalah Allah SWT. Kami ingin berdakwah kepada masyarakat di sana. Layakkah kami? Itu persoalan yang lain. Jika kami tidak ke sana, siapa lagi? Kami tidak punya perancangan untuk berjalan-jalan di sana. Jadual kami di sana nanti diuruskan oleh pihak sana di mana kebanyakan aktiviti kami kelak adalah perbincangan dengan pelbagai organisasi masyarakat dan komuniti Melayu di sana di samping membuat kajian mengenai keadaan masyarakat melayu di sana. Kami juga akan tinggal bersama dengan masyarakat Melayu di sana untuk merasai bagaimana menjadi masyarakat Melayu di Sri Lanka di samping membuat kajian. Kajian yang diperolehi nanti akan dibawa pulang ke Malaysia untuk diperbincangkan dan diperhalusi yang akhirnya nanti akan membawa kepada satu keputusan mengenai pelbagai cara yang boleh kami bantu bagi membangunkan masyarakat Melayu di sana.

3) Kenapa 19 hari? Kenapa tak sebulan ke dua bulan ke….

Ok, kumpulan kami adalah kumpulan yang kedua ke sana. Masih banyak perkara yang perlu diteliti termasuklah membuat beberapa kajian mengenai penduduk Melayu di sana. Justeru, perbincangan bersama dengan pihak sana amatlah penting buat kami di samping memberikan gambaran sebenar keadaan mereka di sana. Dan jangka masa 19 hari, mungkin memadai untuk kami mendapatkan seberapa banyak maklumat untuk memberikan kami sedikit idea untuk diperkembangkan dan dijadikan sebagai batu loncatan untuk misi yang seterusnya. Sekurang-kurangnya bila dah ada idea kasar mengenai keadaan di sana, kami dah boleh membuat perancangan yang lebih baik berbanding kali ini. Insya-Allah, segala hasil yang diperolehi dari sana akan dibukukan dan dijadikan panduan untuk misi yang akan datang. Matlamat akhir kami adalah memastikan Melayu di sana terus hidup subur dengan amalan Islam yang mantap, dan mewujudkan satu pusat latihan belia Islam. Mungkin terlalu ambitious, tetapi itulah yang akan diusahakan oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia! Nothing impossible.

4) Misi Rahmatan Lil A’lamiin

Dan ini adalah perkara yang paling utama dalam misi kami ini. Semua yang membaca mungkin telah faham akan maksud rahamatan lil a’lamin. Perkara ini telah di sebut dalam Al-Quran yang mana Allah berfirman antara lain maksudnya “tidak Allah mengutuskan Rasulullah itu melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam”. Dan ini menjadi pendorong kepada GPTD untuk bergerak seiring dengan tujuan diutuskan Rasulullah kepada umat manusia. Pastinya semua tahu bagaimana Islam mampu untuk menguasai sepertiga dunia. Keberkesanan risalah dakwah yang dibawa Rasulullah, memberikan impak yang baik sehinggakan mereka yang hadir dalam khutbah terakhir baginda, hanya 10 peratus sahaja menghabiskan hayat mereka di Madinah. Sementara sahabat lainnya, bertebaran ke seluruh pelosok dunia bagi menyampaikan seruan Islam. Lantas ungkapan ‘Sampaikan dariku walaupun satu ayat’ menjadi pendorong semangat kepada kami untuk menjalankan misi ini. Atas dasar memahami bahawa Islam wujud untuk membawa rahmat dan keamanan ke seluruh pelosok dunia, lantas mengapa kita hanya fokus di dalam negara sahaja, adakah kerana kita merasakan selesa berada dalam negara yang mengamalkan Islam, atau kita belum lagi bersedia untuk memegang amanah sebagai khalifah Allah dan penyambung risalah Rasulullah?

Tidak bersifat compleasant dengan situasi yang ada di Malaysia, grup Sri Lanka ini menyahut cabaran untuk berada di bumi asing bagi merasai pengalaman mengamalkan dan menyebarkan Islam di negara orang di samping mencari alternatif untuk membangunkan umat melayu yang kian terhakis budaya kemelayuannya. Takkan Melayu Hilang di Dunia. Pastinya kita akan berbangga andai umat Melayu yang bertebaran di seluruh dunia ini, mampu menjadi umat yang kuat. Seterusnya menjadi agen kepada penyatuan ummat yang lainnya.

Doakan segalanya akan berjalan dengan sempurna. Niat kami hanya ingin menyampaikan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah kepada umatnya. Kerana baginda bersabda bahawa umatnya tidak akan sesat untuk selamanya jika mereka berpegang kepada dua perkara, Al-Quran dan juga sunnah Rasulullah. Semoga misi kesukarelaan ke Sri Lanka ini mampu mencapai objektifnya. InsyaAllah.

*penjelasan mengenai kerelevanan misi ini mungkin ada percanggahan. Dan ingin ditegaskan sekali lagi, penjelasan ini adalah datang dari diri aku, dalam memahami matlamat sebenar misi ini. Semoga Allah perbetulkan niatku agar tidak tersimpang. Biarlah pemergianku ke sana menjadi satu titik permulaan untuk aku meletakkan diri aku sebagai seorang Hamba yang memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah. Walau untuk jangka masa yang singkat, sungguh, aku merasakan betapa kerdilnya diri aku yang banyak dosa ini untuk menggalas tanggungjawab yang bukan calang-calang. Macam nak pergi Haji plak rasa. Huhu..

No comments: