Followers

Wednesday, November 18, 2009

Pemergianmu...Aku Iringi Doa dan Air Mata...

Adik…Abang tahu mana mungkin bingkisan ini bisa adik tatap. Tapi biarlah abang jadikan bingkisan ini sebagai tanda ingatan abang buat adik abang. Bingkisan buat adik abang yang telah pergi buat selamanya….

17 November 2009 menjadi tarikh keramat untuk perpisahan abadi ini dik. Saat abang terima panggilan dari angah pagi tu, abang tak jangkakan berita ini yang abang dengar. Abang nak dengar suara adik. Dah lama adik tak berhubung dengan abang. Dah lebih dari setahun dik.

Entah kenapa tahun ini tidak seperti tahun-tahun yang lepas. Semenjak kita kenal lebih kurang 6 tahun yang lepas, abang senang je cari masa untuk pergi ziarah adik dekat Kuala Pilah. Tapi, tahun ni, abang sukar cari masa untuk melawat adik, ayah, umi, angah, alang ngan dik mi. Walau hari raya sekalipun. Sekalipun umi ada jemput abang datang majlis doa selamat umi dengan ayah nak pergi haji. Abang pun tak tahu kenapa dik. Susahnya abang nak luangkan sedikit waktu untuk melawat adik. Kini, abang tahu, itulah tanda persediaan untuk abang kehilangan adik. Akhirnya, Allah tunjukkan, abang punya masa untuk melawat adik. Tapi dalam keadaan adik kaku tidak bernyawa! Abang PASRAH dik…

Entah kenapa, adik seolah-olah telah memberikan petanda yang adik akan pergi tinggalkan abang. Panggilan telefon abang, adik tak pernah jawab. Apetah lagi SMS. Kenapa dik? Adik tersinggung dengan abang? Atau abang ada buat salah dengan adik? Dan kini pastinya panggilan telefon dan SMS tidak akan pernah lagi berjawab. Mati dan SEPI…


ADIK. Pastinya abang akan merindui adik… Angah, Alang ngan Dik Mi juga pasti lebih rindukan adik. Ramai sayangkan adik. Kalau adik nampak tadi, ramai kawan-kawan adik ziarah adik. Tak siapa pun menyangka kejadian ini. Tapi AJAL itu tetap di tangan Allah. Kami redha dik. Dan abang doakan, ayah dan umi di Mekah juga REDHA. Abang message ayah tadi. Ayah balas ucap terima kasih. Abang tak dapat bayangkan perasaan ayah ngan umi saat ini dik….

Saat abang lihat wajah kaku adik tadi setelah abang kumpulkan kekuatan, abang terpaku pada senyuman yang terukir di bibir adik. Ya Allah, abang tengok berkali-kali dik. Adik seolah-olah tersenyum. Senyuman yang dah lama abang tak tengok. Saat itu abang rasakan seolah-olah adik tersenyum pada abang dan berikan abang kekuatan. Adik seolah-olah sedang membayangkan keindahan alam di sana. Andai benar, berbahagialah adik. Dan abang pasti ia akan menjadi milik adik.

Oh, berat sungguh, sesak sungguh dada abang menahan sebak dik…

Abang bersyukur sebab sekurang-kurangnya dapat menatap wajah adik untuk terakhir kalinya. Berpeluang untuk mengucup dahi adik yang pucat dan sejuk. Berpeluang untuk membaluti tubuh adik dengan kain kafan. Cuma abang tak mampu untuk memandikan adik. Abang tak sanggup. Bukan kerana abang jijik, tapi abang tidak cukup kuat untuk memegang setiap inci tubuh adik untuk dibersihkan. Ia hanya akan menambah kesedihan dalam diri abang. Selesai solat dengan empat kali takbir, abang pantas memegang pengusung ‘diri’ adik untuk membawa adik ke pusara. Abang tidak mahu lepaskan barang sesaat masa yang ada untuk abang bersama dengan adik. Setiap langkah menuju pusara tempat adik berehat diselang seli dengan putaran kenangan abang bersama dengan adik. Andai saat itu boleh kembali…..


Adik….telah sampai akhirnya perjalanan adik di atas bumi Allah. Adik kemudian direhatkan di dalam bumi Allah. Abang hanya mampu memandang adik. Maafkan abang. Abang tak terdaya. Sehingga akhirnya adik disatukan dengan tanah….lantas dimulakan talkin…

Adik, maka sungguh benarlah janji Allah, Setiap yang benyawa pastikan merasai mati…

Adik, abang juga akan merasai detik itu setelah adik. Semoga Allah pertemukan kita semula di alam syurga nanti ye dik.

Cukuplah setakat ini dik. Semuanya ini hanya akan menggugah tangis. Abang tidak mahu menangis…tetapi abang gagal dik…

Berbahagialah adik di sana. Semoga ditempatkan di syurga abadi. Itu doa abang setiap saat..PASTI!


Bersemadilah dengan tenang wahai adikku Mohd Azim bin Haji Mohd Lotpi

(8 November 1991-16 November 2009)

4 comments:

alifzaimimra said...

salam takziah, syah.

Hamba Allah said...

sslam takziah....

Tabahkan hati akhi...

Di setiap kejadian pasti ada hikmahnya..

Unknown said...

salam..ssugguhnya hampir mngalir air mata sy mbaca warkah abg Shah utk adik Azim..smg Allah tmpatkan adik Azim dlm kalngan org2 yg soleh..ameen...

@deQashaH said...

acapkali aku tatap catatan ini...
sungguh, aku rindukan dia...
adikku azim...
semoga terus aman dik....
doaku selalu mengiringi...