Nukilan ini saya terima dari seorang sahabat melalui e-mel. Suatu penceritaan (cerita ke?tazkirah lebih sesuai kowt!)yang menarik. Jom baca...!
Ungkapan yang saya dapat dari sebuah cerpen bertajuk “ Erti Cinta Dr. Marianah”, hasil nukilan penulis Aminah Mokhtar. Kisah seorang doktor beriman yang acapkali mendepani berbagai-bagai kes terluka. Berhadapan dengan insan-insan; wanita bahkan kanak-kanak yang penuh derita. Waima yang terlanjur, dari wanita penghafaz qur’an, si pelajar belasan tahun, si ibu penjual anak, malah si kecil tak berdosa turut menjadi korban kerakusan bangsa lupa daratan dan pencemaran budaya songsang.
Bukan itu sebenarnya yang ingin saya ceritakan disini, tetapi saya lebih tertarik untuk mengulas tentang ungkapan tersebut- ujian dan rahmat datang beriring. Bila di sebut tentang ujian, pasti terbayang di kotak pemikiran kita tentang segala kegagalan, kesusahan, kepayahan dan cabaran-cabaran hidup yang terpaksa ditanggung oleh insan bernama manusia. Ujian yang selalunya digambarkan sebagai kesusahan-kesusahan yang dan mengecewakan. Benarkah itu semua ujian semata-mata? Rahmat pula, sentiasa di impi bagai hadiah yang datang dari Tuhan. Setiap kelebihan, kemahuan yang tercapai mahupun doa yang termakbul. Namun, benarkah setiap yang baik itu rahmat?
Mari kita kaji dari sudut pandangan diri kita sebagai seorang insan. Bagaimana kita melihat nilai-nilai mahupun hikmah di setiap ujian yang menimpa dan rahmat yang datang. Cuba kita renung-renungkan kembali, “ujian”kah bila gagal dalam peperiksaan dan kita terpaksa lebih fokus dalam pembelajaran? Ujiankah apabila kita ditimpa musibah dan hati kita masih setia mengingati Allah? Atau ujiankah bila kesilapan yang dilakukan memberi kita lebih peluang untuk berwaspada di lain hari? Dan “rahmat”kah bila diberi kekayaan, kita alpa? Bila disogok dengan kejayaan, kita riya’ hingga lupa kepada si Pemberi kejayaan. Malahan bila dihadiahi kesenangan, kita lalai untuk bersyukur hingga nikmat yang melimpah ruah itu tidak lebih dari hanya memberi keburukkan kepada diri sendiri.
Hakikatnya, bila dikatakan ujian dan rahmat itu datang beriringan, tak mustahil bagi sesuatu yang kita pandang sebagai ujian itu adalah sebenarnya rahmat dari kasih sayang Allah. Kekecewaan yang dirasai adalah mungkin rahmat dari-Nya yang mendekatkan diri kita kepada-Nya. Membuatkan kita semakin mahu untuk sentiasa meminta, merayu dan bergantung harap pada-Nya. Manakala rahmat dan kebaikan yang datang dalam bentuk keinginan yang tercapai tidak lebih hanyalah untuk menguji iman hamba-hambaNya semata-mata. Dan setiap rahmat itu boleh menjadi ujian iman tanpa disedari hanya dengan kelalaian hati si hamba yang terlalu asyik dengan kesenangan dunia tanpa dapat melihat nilai ketuhanan disebalik apa yang di anggap sebagai rahmat tersebut. Nauzubillah. Semoga kita dijauhkan dari segala kelalaian.
“Dan mereka memikirkan tentang perciptaan langit dan bumi seraya berkata: “Ya
Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau,
maka peliharalah kami dari seksa neraka”. (Ali Imran: 191)
Ayat ini menegaskan bahawa memikirkan penciptaan Allah menjadikan seseorang mengkagumi dan mengagungi Allah serta mendorong kepada mengingati hari akhirat, mengingati pembalasan yang akan diterima di sana, dan mendorong seseorang mukmin untuk memohon kepada Allah supaya menyelamatkannya daripada azab neraka.
Memikirkan, mengkagumi dan mengagungi penciptaan Allah bukan sahaja dari sudut lahiriyyah, malahan dari sudut rohaniyyah yang tidak dapat di lihat melalui mata kasar. Dimensi yang selalu dianggap sukar untuk di terokai oleh insan-insan yang kotor hatinya. Sesunggunnya hanya cahaya (nur) yang mampu untuk menembusi hati-hati insan untuk merasai dan menghayati penciptaan Allah dari sudut rohaniyyah. Dimensi rohaniyyah inilah yang mampu untuk mengecapi hikmah yang tersembunyi di setiap ujian dah rahmat yang Allah berikan kepada manusia. Itulah yang sebenarnya diperlukan oleh seorang manusia. Memikirkan, mengkagumi dan mengagungi penciptaan Allah secara lahiriyyah dan rohaniyyah supaya menambah iman dan taqwa kepada Allah dan ianya tidak terus berakhir di situ apabila kita dapat mengaitkannya dengan kehidupan selepas mati, di mana kita akan berusaha mempersiapkan diri mencapai yang terbaik untuk kehidupan akhirat yang telah di janjikan oleh Allah.
Mari kita bersama-sama kembali kepada fitrah diri kita sebagai seorang manusia yang dikurnia akal dan hati, renung-renungkanlah setiap detik dan saat sewaktu kita diuji dan diberi. Adakah dengan ujian itu kita semakin jauh dari DIA, atau kita berusaha untuk mencari DIA? Apakan disetiap pemberian itu kita bersyukur dan berterima kasih pada si Pencipta, atau dengan teguh kita nyatakan ianya adalah hasil usaha kita sahaja semata-mata? Ingat-ingatlah kembali dan muhasabahlah. Sesungguhnya setiap taqdir Allah itu punyai hikmah yang tersembunyi. Bergantung kepada iman dan pergantungan kita untuk merasai dan menghayati hikmah di setiap taqdir yang menimpa. Sesungguhnya apa lagi yang diperlukan oleh seorang hamba kecuali untuk mencapai redha-Nya. Moga redha Allah sentiasa mengiringi hati-hati yang khusyu’ mencari DIA. InsyaAllah.
Wallahu’alam.
Sumber rujukan:
Aminah Mokhtar : “Erti Cinta Dr. Marianah”
Mustafa Mashyur : Berdakwah Kepada Allah (Da’wah Fardhiyah)
No comments:
Post a Comment