1) Banyakkan amalan solat malam, bangun pagi untuk solat tahajjud, kemudian baca buku. InsyaALLAH dipermudahkan untuk faham.
2) Minta restu ibu bapa sebelum menduduki peperiksaan. Amalan saya setiap kali ingin menduduki sesuatu peperiksaan ialah, saya akan telefon mama dan abah bagi memastikan mereka tahu bahawa anak mereka akan menduduki peperiksaan, lantas doa mereka amat-amatlah diperlukan. Kepercayaan kuat saya bahawa doa kedua ibu bapa adalah antara doa yang tidak ada hijabnya. InsyaALLAH akan dimakbulkan oleh Allah.
3) Minta restu guru-guru yang mengajar. Sedari sekolah lagi saya diajar untuk memohon maaf kepada semua guru-guru yang mengajar saya. Mengapa? Setiap ilmu yang dititipkan oleh guru-guru tidak akan ada barakahnya andai mereka pernah terasa dengan kita dan kita tidak pula meminta maaf kepada mereka.
Kemudian saya cuba bawa adik-adik ini untuk memikirkan masa depan bangsa Melayu dan Islam. Sendainya mereka tidak berusaha sekarang, maka pada masa hadapan, kekuatan bangsa semakin terhakis. Saya bawakan isu-isu yang berkaitan contohnya isu pengurangan kuota bumiputera dalam peluang mendapatkan bantuan biasiswa melanjutkan pelajaran. Dan juga isu lambakan siswazah yang menganggur. Sempat saya melakukan beberapa aktiviti yang merangsang adik-adik ini untuk berfikir secara kritis dan juga menjadi seorang yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi sebagai added value dalam diri.
Banyak perkara sebenarnya yang perlu adik-adik ini tahu dan faham, namun jangka masa satu setengah hari tidak memungkinkan mereka untuk menyelami maksud perjuangan hidup yang sebenar. Mereka masih belum merasai keadaan hidup yang sebenarnya di luar. Cabaran yang besar menanti andai mereka tidak bersedia dari sekarang. Saya sedang mengalaminya sekarang ( dan ini baru sebahagian, kerana saya belum berada dalam kelompok masyarakat dalam erti kata yang sebenar), dan saya tahu betapa seseorang itu perlu betul-betul kuat dan faham dalam berhadapan situasi semasa.
Saya belajar banyak perkara apabila bersama dengan adik adik sekolah ini. Pengalaman seperti inilah yang menyebabkan diri saya terus redha dan kuat untuk berada pada jalan ini. Biar mungkin saya terpaksa berkorban tenaga dan wang ringgit, kerana itu bukan fokus saya. Saya mahukan adik-adik yang berada dalam program ini dapat merasai nikmatnya memperoleh kejayaan. Kerana saya sudah alaminya. Dan saya mahu mereka juga merasainya. Sungguh ia akan menjadi nostalgia yang akan kekal dalam ingatan.
Untuk akhirnya, saya memanjatkan doa agar adik-adik saya di SMK Bandar Sri Damansara ini mendapat kejayaan yang cemerlang dalam PMR dan SPM. Kejayaan mereka nanti akan menjadi hadiah yang istimewa buat diri saya. Semoga akhirnya nanti, mereka akan menjadi seorang anak bangsa yang menjadi kebanggaan agama dan negara. Lantas menjadi kebanggan saya juga.
Untuk adik-adik SMK Bandar Sri Damansara :
“Abang mohon maaf atas segala salah dan silap abang sepanjang program. Abang meletakkan harapan yang besar agar adik-adik berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat (berjaya dalam peperiksaan PMR dan SPM). Semoga segalanya dipermudahkan dan adik-adik semua diberikan kekuatan untuk terus mencari ilmu dan ikhlas dalam segala urusan. Abang bukan orang yang terbaik, tetapi abang telah berikan yang terbaik dari diri abang untuk adik-adik. Semoga segalanya mendapat keredhaan Allah. Selamat maju jaya!”