Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh usaha muzakarah antara pemimpin Melayu yang sedang hangat dibincangkan sekarang.
"PKPIM yakin sudah tiba masanya bagi semua pemimpin Melayu, sama ada dari Umno, PAS, malah PKR, untuk duduk semeja dan bermuzakarah tentang nasib untung umat Melayu Islam di Malaysia," kata Presidennya, Hilmi Ramli.
Katanya, situasi yang genting dan cemas hari ini menuntut kebijaksanaan dan jiwa besar semua pemimpin Melayu untuk melupakan titik bengit sengketa lampau.
"Umat Melayu Islam sebenarnya sedang dan selamanya berkongsi teras yang mendasar, iaitu agama Islam, budaya Melayu dan Bahasa Melayu.
"Namun demikian, kerana politik, umat Melayu Islam telah berpecah dan sering sengketa menyebabkan perpaduan tidak dapat direalisasikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, katanya, PKPIM yang mewakili suara generasi muda, menyokong penuh muzakarah antara semua pemimpin Melayu dari Umno, PAS, PKR serta barisan cendekiawan, ulama dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Prinsip Muzakarah
Sehubungan itu, katanya, PKPIM mencadangkan:
- Semua lapisan pemimpin Melayu meletakkan maslahah yang besar dalam bermuzakarah, iaitu mencari titik temu bersama demi umat Melayu Islam.
- Bersetuju dalam perkara yang dasar dan berlapang dada dalam perkara berbeza' harus menjadi prinsip muzakarah.
- Bermuzakarah dengan rendah hati dan insaf, bahawa hakikatnya masa depan ummat Melayu Islam semakin mencemaskan.
- Menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 sebagai landasan kekuatan dalam muzakarah. Ini kerana, ada elemen yang cuba mengikis kedua teras kenegaraan ini.
- Menjadikan muzakarah sebagai pelan jangka panjang yang berterusan, bukan kerana situasi semasa yang berlaku semata.
- Semangat bermuzakarah harus menjadi teras semua pemimpin Melayu di negara ini, yang kemudiannya diserap kepada lapisan generasi muda.
No comments:
Post a Comment