Suka saya nyatakan di sini, ulasan yang bakal saya berikan adalah berdasarkan beberapa pemerhatian saya sepanjang debat itu berlangsung dan bukannya satu ulasan bersifat kepartian.
Pertamanya, saya kira rakyat Malaysia sangat bertuah kerana diberikan peluang melihat secara langsung perdebatan yang menemukan dua pemimpin dari dua konsep yang berbeza. Dan saya tabik pada keberanian Ahmad Shabery Cheek dalam berhadapan dengan ‘orang lama’ (Anwar Ibrahim). Saya yakin dan percaya, peluang sebegini bukan sewenangnya diambil mudah oleh menteri baru seperti dia.
Perdebatan dimulakan dengan ucaptama dari kedua belah pihak, dan saya melihatkan Ahmad Shabery lebih yakin dalam melontarkan katanya berbanding Anwar yang mungkin agak kecewa dipertemukan dengan Menteri Penerangan tersebut yang mungkin pada pendiriannya, biarlah perdebatan itu berlangsung antara dia dan Pak Lah ataupun Najib. Tetapi perkara itu tidak diambil mudah oleh Anwar lantas kita dapat melihat Anwar kerapkali merujuk kepada nota-nota yang telah disiap sediakan olehnya bagi menangkis hujah Shabery.
Perdebatan berjalan dengan agak baik dengan penghujahan dan fakta yang diberikan oleh Anwar, namun sedikit kekesalan timbul pada saya apabila Shabery kurang memberikan fakta yang meyakinkan untuk menyanggah tujahan hujah yang diberikan oleh Anwar. Saya dapat melihat bagaimana Shabery kerapkali cuba lari dari persoalan dan tunjang sebenar perdebatan dengan menyerang peribadi Anwar, sedangkan sepatutnya perdebatan berlangsung secara professional. Lantas ada pihak yang membisikkan kepada saya, Shabery habis modal. Perkara ini sangat jelas apabila dia diajukan dengan persoalan pengurusan dana yang diperoleh hasil penjimatan subsidi minyak untuk meningkatkan prasarana pengangkutan. Apabila kenaikan minyak sebanyak 30 sen. 4.3 billion dana diperoleh hasil penjimatan subsidi, tetapi hanya 834.75 juta yang dibelanjakan seperti mana yang dibentangkan dalam parlimen sebelum ini. Lantas apabila minyak dinaikkan lagi, penjimatan subsidi sebanyak 13 billion diperoleh. Persoalan oleh wakil Anwar mengenai pengurusan dana itu untuk menaik taraf prasarana pengangkutan tidak dijawab langsung oleh Shabery malah terus melencong kepada bagaimana kerajaan menangani krisis makanan. Suatu yang saya kira terlalu jelas, lantas mengurangkan kredibiliti beliau sebagai seorang pendebat yang baik.
Seterusnya perdebatan dilihat agak memihak kepada Anwar lantaran fakta dan angka yang dibentangkan lebih meyakinkan. (Ketirisan diesel, perwaja, inflasi, IPP, keuntungan petronas dan sebagainya-sekadar menyenarikan beberapa fakta yang telah dibentangkan Anwar).Namun pujian harus juga diberikan kepada Shabery yang berusaha untuk mempertahankan premis beliau dengan memberikan pelbagai sebab atas kerelevanan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak lantas memberikan perspektif bahawa dia bukanlah seorang pemimpin yang mudah mengalah dan mengaku tewas dengan sebarang asakan.
Apapun, saya menganggapkan pertemuan kedua-dua pemimpin ini berjaya membuka sedikit ruang untuk menilai kembali pelbagai perkara yang berkaitan permasalahan kenaikan harga minyak. Sekurang-kurangnya, rakyat yang kurang jelas mengenai mengapa dan apakah yang menyebabkan kenaikan minyak sudah lebih memahami dan dapat menilai dari pelbagai sudut.
Dan akhirnya perdebatan diakhiri dengan penggulungan oleh keduanya sebagai pengukuh kepada setiap hujah yang telah dibentangkan. Fakta yang tersusun dengan hujah yang baik menjadi penilaian kepada hasil perdebatan ini.
Di bawah ini saya sertakan pautan mengenai ulasan dan undian yang dibuat oleh web Malaysiakini terhadap perdebatan yang bersejarah ini:
http://www.malaysiakini.com/news/86203
No comments:
Post a Comment