Followers

Monday, July 7, 2008

Selamat Kembali ke Taman Ilmu dan Budi!


Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaanNYA. hari ini (7 Julai 2007), semester baru menjengukkan dirinya. Maka bermulalah satu lagi episod baru perjalanan saya dan sahabat-sahabat dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar. Syukur saya kerana masih lagi diberi peluang untuk sama-sama berjuang dengan sahabat-sahabat. InsyaAllah, bersama kita berusaha segala yang terbaik untuk kejayaan kita bersama.

Cuti dua minggu terasa begitu singkat, namun saya panjatkan kesyukuran saya ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kesempatan dan ruang waktu itu untuk saya isikan dengan pelbagai perkara yang bermanfaat. Bermula dengan Tamrin Qiyadi Kebangsaan yang dianjurkan ole PKPIM Pusat, pelbagai perkara baru yang saya pelajari dalam TQK tersebut. Saya bertemu dengan pimpinan-pimpinan dari pelbagai universiti dan kolej dan pastinya ini memberi peluang yang sangat baik untuk saya mewujudkan jaringan antara universiti dan memudahkan lagi pergerakan jemaah, InsyaAllah.

Seterusnya, saya diberikan peluang untuk melawat Pusat Asasi Nilai dan menginap di sana selama tiga hari, mewujudkan suatu ukhuwah yang erat bersama pimpinan PKPIM pusat asasi di sana. Alhamdulillah, pelbagai perkara berkenaan pergerakan jemaah dapat dikongsikan bersama-sama sahabat-sahabat di sana. Saya juga mengambil peluang berada di Nilai untuk memerhatikan situasi pembelajaran dan keadaan pelajar di sana. dan secara peribadinya saya berpendapat bahawa pelajar-pelajar Pusat Asasi UIA di Nilai perlu mempunyai 'nilai' akhlak yang tinggi bagi mengelakkan mereka dipengaruhi persekitaran yang saya kira kurang membantu untuk melahirkan generasi pelajar yang terpelihara tingkah lakunya. Justeru saya menyeru kepada pelajar-pelajar di sana untuk mencari platform yang terbaik untuk 'menjaga nilai' akhlak agar tidak terjerumus ke suatu ruang yang boleh merosak nilai seorang mahasiswa Islam. Terima kasih saya kepada sahabat-sahabat yang menjaga kebajikan saya sepanjang di sana terutamanya kepada Syed Kamil, Hanis, dan juga pimpinan PKPIM yang lain. Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik anda semua.

Sementelah saya berada di Nilai, saya juga mengambil kesempatan untuk melawat sekolah lama saya yang telah saya tinggalkan 5-6 tahun yang lepas (SMI Seremban). Banyak kenangan yang terimbas kembali saat kaki dijejakkan. Alhamdulillah, diberikan kesempatan untuk berjumpa dengan guru-guru yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya sehingga di mana saya berada sekarang. Semoga dengan doa kalian, saya terus diberikan kekuatan untuk terus berjuang menjadi insan yang cemerlang. InsyaAllah. Ada beberapa amanat yang telah disampaikan oleh Cikgu Rohani terutama sekali perancangan untuk 'turun' padang membantu pelajar-pelajar sekolah itu. InsyaAllah, andai diberi kesempatan saya akan cuba untuk mencadangkan program yang sesuai untuk diaplikasikan.

Seterusnya, cuti saya terus menerus diisi dengan pelbagai perkara yang berfaedah, untuk saya ceritakan semuanya mungkin terlalu panjang, sekadar menyenaraikan beberapa aktiviti yang saya lakukan sepanjang cuti. Antaranya, mesyuarat bersama sahabat-sahabat dari Singapura berkenaan projek Teens A.L.I.V.E. Modul yang mereka jalankan di Singapura ini dikongsi bersama. Perbincangan yang sangat menarik saya kira. Seterusnya, Seminar Ta'dib Islami, Perhimpunan Fasilitator ABIM, dan yang terakhir Kem Pembangunan Mahasiswa Pusat Asasi UIA PJ di Kem Belia Bukit Lagong. Saya berkesempatan untuk bersama-sama dengan sahabat-sahabat di UIA PJ ketika kem tersebut dan berkongsi pelbagai pengalaman bersama mereka. Saya amat menghargai setiap saat saya bersama mereka dan diharapkan ukhuwah yang terbina akan terus mekar bersama tautan kasih sayang Illahi. Insya-Allah. Syukran jazilan saya ucapkan atas layanan yang mesra sepanjang keberadaan saya di sana.

Dan tika tangan ini ligat menaip, saya sedang berada di UIA. Menunggu detik 10.00 pagi. Kelas akan bermula. Harapan saya semester baru ini memberikan seribu satu makna. Ada banyak perkara dan tanggungjwab yang perlu diselesaikan, dan semoga Allah memberikan ruang waktu untuk saya menyelesaikan semuanya dengan sempurna.

Akhir kata, Selamat Maju Jaya kepada semua pelajar UIA. Kita mulakan langkah pertama pada hari ini dengan semangat dan aspirasi yang baru!Chaiyok!

~Hidup Biar Berjasa~

No comments: