“Abang pasti adik-adik ada terbaca dan tahu tentang tragedi terbaru yang menimpa umat Islam dekat selatan Thailand hari Isnin yang lepas” ramai ahli-ahli Usrah Jumaat mengangguk-angguk tanda mengetahui apa yang terjadi di selatan Thailand pada Isnin yang lepas.
“Sekali lagi umat Islam di selatan Thailand digemparkan dengan tragedi berdarah. Dan sampai sekarang tak tahu siapakah dalang di sebalik perbuatan terkutuk itu” Abang Faisal meneruskan usrah Jumaat PKPIM dengan menyentuh sedikit sebanyak mengenai sejarah pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand.
Yang pastinya, ini bukan kali pertama umat Islam di Selatan Thailand menjadi mangsa. Bukan pertama kali, darah umat Islam di sana mengalir umpama tiada harga. Bukan pertama kali umat Islam di sana terseksa dengan penindasan yang berlaku dek kerakusan pemerintah. Namun, kita di sini, masih MEMBUTAKAN MATA! Seolah mereka bukan saudara mara kita.
Pernah tak kita ambil tahu tentang mereka? Pernah kita mencari gali sejarah mengapa tertindasnya umat Islam di sana?
Wahai aku dan juga sahabat seIslam aku di luar sana…. JANGAN BUTAKAN MATA!
Betapa beruntungnya kita berada di bumi bertuah Malaysia. Aman dari segala ancaman. Tetapi mengapa kita masih mahu berbalah? Mengapa masih lagi mahu berkelahi mengenai perkara-perkara yang furu’? Sedangkan menjaga kesatuan itukan lebih besar kepentingannya?
Anda baca, dan nilailah sendiri…. Jangan kata anda pejuang Islam, andai anda tidak rasa sedih dengan kelakuan mereka yang tidak berperikemanusiaan ini!
SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Kejam dan tidak berperikemanusiaan!
Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).
Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.
Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.
Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.
Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.
Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.
Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.
‘‘Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu.
‘‘Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.
‘‘Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.
Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari.
Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.
‘‘Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.
‘‘Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah ‘tok siak’ masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.
‘‘Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan ‘tabligh’ yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati,” katanya.
Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.
Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.
Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan ditingkatkan.
*Dipetik dari Utusan Malaysia
Fikir-fikirkanlah! Semoga Allah menempatkan para jemaah yang terkorban dalam serangan ini di tempat orang-orang yang soleh. Syukur, mereka mati tatkala menghadap Allah. Aku dan anda di luar sana? Adakah pasti bila tiba saatnya nanti kita berada di tikar sejadah? Wallahua’lam….
No comments:
Post a Comment